Sunday, June 24, 2018


PANJI-PANJI PASUKAN

            a.         Panji-Panji Pertama.
                       
(1)               Tarikh Penganugerahan. 13 Sep 1949.

(2)               Kuasa Kebenaran. Ratu Elizeberth.

(3)               Ringkasan. Pengurnia Panji-Panji Rejimen yang pertama telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya Sir Henry Gurney bagi pihak Baginda Queen Elizabeth pada 13 Sep 1949 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

            b.         Penukaran Panji-Panji Kedua.

                        (1)        Tarikh Penganugerah. 13 Nov 1976.

                        (2)        Kuasa Kebenaran. Sultan Abdul Halim Muazam Shah Ibni Almarhum Sultan Badli Shah.

                        (3)        Ringkasan. Pengurnian Panji-Panji telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Abdul Halim Muazam Shah Ibni Almarhum Sultan Badli Shah (Sultan Kedah) selaku Kolonel Yang DiPertua Kor RAMD di Kem Terendak, Melaka pada 13 Nov 1976. Penghormatan Perang (Battle Honours) yang diletakakn di Panji-Panji ini adalah seperti berikut:

(a)                Pulau Singapura.

(b)               Tanah Melayu 1941 – 1942.

(c)                Darurat 1948 – 1960.

            c.         Penukaran Panji-Panji Ketiga.

(1)               Tarikh penganugerahan. 24 Nov 1998.

(2)               Kuasa Kebenaran. KDYMM Sultan Abdul Halim Muazam Shah Ibni
                        Almarhum Sultan Badli Shah.

(3)               Ringkasan. Upacara istiadat telah disempurnakan oleh KDYMM
Sultan Abdul Halim Muazam Shah Ibni Almarhum Sultan Badli Shah (Sultan Kedah) selaku Kolonel Yang DiPertua Kor RAMD pada 24 Nov 1998 bertempat di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Istiadat tersebut dilaksanakan bagi mengantikan Panji-Panji lama.

LAGU PASUKAN

Lagu Batalion. ‘Harimau Malaya’. Dicipta dan digubah semula oleh Lt Kol Abu Hurairah bin Talib, Pegawai Memerintah Ke-30 dan PW II Mansor bin Amin, Drum Mejar pada tahun 2004. Seni kata lagu ini adalah seperti berikut:

HARIMAU MALAYA

Berkibar Benderaku Berkibar
Pasukan Yang Tertua
Hijau Melambangkan Maju Jaya
Menuju Segala Cita

Kami Anggota Dua Melayu Diraja
Pasukan Harimau Malaya
Taat Setia Yang Tak Terhingga
Sedia Berbuat Jasa

Hidup Di Dalam Kebahagian
Menjadi Satu Tujuan
Mencapai Tahap Keseimbangan
Di Dalam Pelbagai Bidang
Cogan Kata Yang Di Wariskan
Sentiasa Tunjuk Belang
Di Hutan Ataupun Di Padang
Tidak Akan Kecundang

Maju Maralah Kita Semua
Berkorban Bakti Bersama
Terus Berjuang Tahankan Negara
Semangat Harimau Malaya


LENCANA DAN LAMBANG 2 RAMD

1.       Lambang dan Cogan Kata Pasukan. Pasukan ini menggunakan cogan kata ‘SENTIASA TUNJUK BELANG’. Di atas kejayaan pasukan ini di sepanjang darurat yang mana telah membunuh seramai 158 orang PGK, Menawan 39 orang PGK dan 59 orang lagi PGK menyerah diri, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu pada ketika itu iaitu Sir Gerald Templer telah mengistihar gelaran ‘HARIMAU MALAYA’ kepada pasukan 2 RAMD pada tahun 1952. Fakta ini telah disahkan oleh Profesor Dato’ Dr. Khoo Kay Lim dalam bukunya ‘DARURAT 1948 – 1960 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Lambang Harimau Berjuang berlatabelakang kain warna hijau di ambil dari salah satu warna bendera Rejimen Askar Melayu Diraja. Ia melambangkan Islam yang bersesuaian dengan keanggotaan pasukan, di mana kesemua anggota menganut agama Islam dan mengamalkan pemerintahan serta perjuangan Islam.

a.         Cogan Kata. ‘Sentiasa Tunjuk Belang’ sinonim dengan gelaran ‘Harimau Malaya’ yang diberikan kepada batalion oleh General Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu pada tahun 1952, di atas kejayaan cemerlang batalion ini semasa Darurat Pertama.

 
  


 WARNA PASUKAN

b.         Warna Batalion. ‘Hijau’ diambil dari salah satu warna bendera Rejimen Askar Melayu Diraja yang melambangkan Islam sesuai dengan keanggotaan batalion di mana kesemua anggota beragama Islam dan mengamalkan pemerintahan serta perjuangan Islam.


RAGAAN PASUKAN
c.         Ragaan Utama. ‘Darurat Satu’ adalah sebuah tugu perinatan yang terdapat sebilah ‘Keris Perak’ di atasnya. Setiap penjurunya dikawal oleh replika ‘Harimau Perak’. ‘Keris’ melambangkan kepahlawanan bangsa Melayu dan kebesaran Raja-Raja Melayu. ‘Keris Perak’ yang terletak di atas tugu melambangkan tugas yang telah diamanahkan oleh Negara dan Raja-Raja Melayu yang sentiasa menjadi tonggak utama kepada anggota batalion. Di plat tugu terpahat nama-nama pahlawan batalion yang telah gugur semasa operasi. Ragaan ini dicipta secara bersama oleh pegawai dan anggota batalion ini pada tahun 1960.